Selasa, 27 Oktober 2009

Safawati diharap jadi contoh lapan adiknya


GOMBAK 11 Okt. - Konvokesyen adalah antara hari paling istimewa buat ibu bapa dan ia biasanya disambut dalam suasana penuh ceria.

Namun bagi pasangan Rustamin Amak Jamilah, 54, dan Mailah Sarum, 42, dari Ranau, Sabah, hari konvokesyen anak sulung mereka, Safawati, 24, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilalui dengan linangan air mata.

Safawati yang memperoleh ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan nilai gred purata (CGPA) 3.6 (kelas kedua atas) meninggal dunia pada 17 Julai lalu akibat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Menurut Rustamin, beliau bersyukur dengan ketentuan Ilahi dan berbangga dengan pencapaian cemerlang anaknya itu.

''Walaupun menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu, Alhamdulillah, arwah (Safawati) masih mampu mempamerkan keputusan cemerlang.

''Usaha dan kecekalannya menuntut ilmu diharap menjadi contoh kepada lapan lagi adiknya,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Hadir sama, ibu Safawati, Mailah dan adik lelakinya, Ahmad Maksum, 23, dan Mujahid, 21.

Dengan keputusan itu serta penglibatan aktifnya dalam bidang kokurikulum, Safawati turut dinobatkan Anugerah Pelajar Terbaik dalam bidang Teknologi Maklumat oleh Jabatan Pengurusan Perniagaan UIAM.

Rustamin menerima ijazah bagi pihak Safawati yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

1 ulasan:

mohamad berkata...

salam ukhwah..

ustaz Rustamin merupakan seorang ustaz yang sagat mengambil berat tentang pelajarnya..saya merupakan salah seorang anak murid beliau..pendidikan yang diberinya sangat berguna dunia akhirat..semoga kita dapat mencontohi arwah Safawati..